Wednesday, July 8, 2009

PPSMI..?

PPSMI (Pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris) yang diperkenalkan pada tahun 2003 akhirnya ditamatkan hayatnya pada hari ini. Mulai 2012, pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik di sekolah rendah dan menengah akan dijalankan dalam bahasa Melayu. Untuk sekolah vernakular pula, pelajaran adalah dalam bahasa ibunda masing-masing. Rujukan sini, sini dan sini.

Polemik PPSMI ini telah berlarutan sejak pengenalannya pada tahun 2003 oleh mantan Perdana Menteri, DS Dr. Mahathir Mohamad (sekarang ini Tun). Seperti yang dijangka, Tun M memberi respons tidak bersetuju terhadap pemansuhan PPSMI oleh Kementerian Pelajaran dan kabinet. Semestinya beliau tidak bersetuju kerana beliaulah yang memperkenalkan dasar PPSMI ini.

Saya pasti pihak pembangkang dan juga pihak anti-PPSMI akan bersorak gembira kerana 'perjuangan' mereka berhasil. Maka tidak perlulah selepas ini mereka berdemonstrasi di jalan-jalan raya ibu kota untuk membantah PPSMI ini dengan disertai oleh A. Samad Said dan lain-lain. Atau mungkin juga selepas ini, mereka mengadakan 'demonstrasi kemenangan'? Tak siapa tahu, tetapi di sudut hati saya, mereka mungkin (saya tegaskan mungkin) juga akan berdemonstrasi. Bukankah ini budaya mereka?

Di pihak kerajaan pula mengakui adanya kelemahan dalam PPSMI, juga menidakkan adanya pertimbangan politik dalam pemansuhan PPSMI. Rujuk di sini. Namun, sebagai politikus (bukan saya, tp pihak kerajaan), saya rasa adanya sedikit sebanyak pertimbangan politik dalam pemansuhan dasar PPSMI ini. Lebih-lebih lagi PRK Manik Urai akan berlangsung pada 14 Julai. Ini boleh dijadikan bahan kempen dalam memancing undi. Bukan untuk pihak kerajaan/BN sahaja, malah PR/PAS juga. Pihak kerajaan/BN akan mengatakan mereka memenuhi kehendak rakyat dalam memansuhkan PPSMI, pihak PR/PAS pula akan mengatakan bahawa mereka yang memperjuangkan pemansuhan PPSMI.

Saya mengikuti isu PPSMI ini, walaupun bukan secara full-time, mengakui adanya pro dan kontra dalam isu PPSMI ini. Namun secara peribadi, saya menyokong pemansuhan PPSMI namun bukanlah menolak 100% PPSMI ini.

Mengapa?
  • Sekiranya alasan pihak kerajaan ini memantapkan penguasaan bahasa Inggeris melalui PPSMI, saya rasa alasan ini kurang kukuh. Bahasa Inggeris, seperti juga bahasa-bahasa lain, adalah untuk komunikasi. PPSMI hanya mengajar istilah, bukan cara berkomunikasi. Jadi, untuk memantapkan penguasaan Bahasa Inggeris, B. Inggeris haruslah digunakan dalam komunikasi. Jadi, cara pengajaran Bahasa Inggeris di sekolah haruslah lebih berteraskan komunikasi sesama pelajar dan guru, bukan sekadar duduk dan mendengar leteran/pengajaran guru. Adakan pertandingan drama, public speaking, English day dsb. Bi'ah (keadaan) yang kondusif dalam bahasa Inggeris boleh meningkatan penguasaan Bahasa Inggeris itu sendiri.
  • Peggunaan bahasa Inggeris dalam pembelajaran itu sendiri melanggar perlembagaan negara. Perkara 152 Perlembagaan negara menyatakan bahawa Bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan.
  • Kekurangan guru terlatih, walaupun banyak kursus telah diadakan untuk para guru. Kebanyakan guru ini sendiri tidak berlatarbelakangkan bahasa Inggeris.
  • Jurang antara pelajar bandar dan luar bandar semakin terbuka luas. Kebanyakan pelajar luar bandar mempunyai masalah dalam PPSMI ini.
  • Kajian UNESCO sendiri mengakui bahawa lebih mudah pelajar menguasai ilmu di peringkat awal persekolahan dengan menggunakan bahasa ibunda. Lihat sini.
Saya menghormati pandangan Tun M mengenai keperluan menguasai bahasa Inggeris pada masa sekarang. Namun saya melihat bahawa penggunaan bahasa Inggeris untuk berkomunikasi perlu dititikberatkan terlebih dahulu. Saya rasa andai penggunaan bahasa Inggeris dalam komunikasi dapat diperbaiki, maka penguasaan istilah Sains dan Matematik akan hadir tanpa banyak masalah.

Saya juga setuju dengan kenyataan YB Menteri Pelajaran, TS Muhyiddin Yassin yang Bahasa Melayu perlu dimartabatkan dan Bahasa Inggeris dimantapkan. Lihat sini. Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan seperti yang termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Malaysia, maka sepatutnya Bahasa Melayu itu diletakkan di tempat yang sepatutnya, tanpa melupakan yang Bahasa Inggeris sebagai bahasa antarabangsa, perlu dimantapkan penguasaannya.

Saya ingin juga memuji cara universiti saya dalam memastikan penguasaan bahasa Inggeris kepada para penuntutnya. Di sini, keadaannya sememangnya memerlukan penguasaan b. Inggeris. Pelajar dan pensyarah antarabangsa ramai di sini dan memerlukan pelajar tempatan berkomunikasi dengan mereka dalam bahasa Inggeris. Walaupun nampak memeritkan (di pusat matrikulasi, 18 jam seminggu dihabiskan semata-mata untuk mempelajari b. Inggeris), namun nampak keberkesanannya. Mungkin dari segi penulisan, nampak kurang berkesan, namun dalam berkomunikasi, pelajar dapat berkomunikasi dengan baik dalam bahasa Inggeris.

Apa yang pasti, keputusan telah diambil, dan saya yakin dan pasti pihak kerajaan dan kabinet telah berfikir sehabisnya untuk mengambil keputusan ini. Saya berpendapat pada peringkat matrikulasi atau tingkatan 6, barulah sesuai untuk dijalankan PPSMI, seperti mana keputusan yang telah diambil. Apa yang penting, penguasaan B. Inggeris untuk komunikasi perlu dimantapkan terlebih dahulu.

Sekadar ini coretan saya.. =)

1 comment:

Anonymous said...

mak ai.. panjangnya..
haha..
tahniah2.. =)